Kefahaman Bukti Tahap Intelektual

Pernahkah anda lalui peristiwa di mana bila di soal sesuatu perkara kepada seseorang maka jawapan yang diberikan tidak tale dengan soalan. Pernah? Saya pernah mengalami pengalaman tersebut. Lucu dan kelakar.

Agaknya apa sebab berlaku perkara tersebut? Renung punya renung. Akhirnya secara umumnya saya berikan beberapa alasan. Pertama individu tersebut mengalami masalah pendengaran. Common case kan? Saya rasa bila kita bercakap dengan orang yang sudah lanjut usia, maka terpaksa ditinggikan nada suara. Bukan bermaksud biadap tetapi perkara itu lebih mudahkan komunikasi. Barulah bila tanya, dijawab dengan jawapan yang selayaknya. Ingat! Mereka lebih dahulu makan garam. Tutur kata mereka sudah pasti ada petua.

Kedua adalah masalah penglihatan yang selalu di dapati oleh warga emas juga menjadikan salah satu elemen penyumbang kepada komunikasi dua hala yang baik. Hal ini kerana, ramai di antara mereka setelah mengalami ketidakfungsian pendengaran yang baik maka akan menggunakan penglihatan untuk melihat gerak geri bibir bagi meramal apa yang kita bicarakan. Jika sudah tidak nampak, maka tak hairanlah tanya lain jawapannya lain. Sekali lagi ketawa!

Alasan ketiga, ini adalah alasan yang betul-betul perlu di ambil serius. Tidak boleh sesekali di ambil ringan apatah lagi diabaikan terus tanpa ada usaha untuk memperbaikinya. Kelemahan, kepincangan dan kegagalan otak atau minda dalam penafsiran. Bahaya bukan? Cuba bayangkan kita lihat pada sudut luaran orang tersebut cantik, segak dan bergaya. hebat tutur kata dan bicara, punya sarjana akan tetapi bila ditanya simple question, dijawabnya merapu serta tidak fokus pada soalan.

Sungguh begitu menghairankan bagaimana boleh terjadi sebegini. Adakah disebabkan overthinking? Apakah integrasi maklumat di dalam cerebrum mengalami masalah? Saya tidak pasti, namun apa yang saya pasti perspektif masyarakat terhadap golongan seperti ini adalah buruk. Lebih menyedihkan lagi apabila keadaan itu tidak disedari olehnya dan tidak mahu diterima dan diperbaiki sebetulnya. Istilah yang paling tepat bak kata-kata orang tua adalah bodoh sombong.

Masyarakat atau pun mana-mana individu akan menilai semasa berkomunikasi bersama-sama. Melalui komunikasi seseorang dapat kita faham secara kasar jenis perwatakan dan personaliti individu tersebut. Malah ia adalah kayu ukur dalam menilai keintelektualan seseorang.

Tiada faedah bila mana mendapat segulung ijazah sarjana mahupun doktor falsafah sekali pun sekiranya kita gagal berinteraksi dengan manusia sebaiknya. Baik berikan sahaja kepingan-kepingan kertas tersebut pada monyet dan kera. Tidak berguna. Kononnya mengejar ilmu demi mendalami ilmu bidang tersebut, akan tetapi apabila tamat pengajian masih lagi tidak memahami malah angkuh dengan kesilapan tersebut. Paling teruk lagi, ada pula menyebarluaskan kefahaman salah pada generasi muda. Makin lama makin runtuhlah keunggulan intelektual masyarakat kita.

Namun begitu, tidak menjadi satu kegusaran atau kerisauan sekiranya kita mahu menerima kelemahan dan sedia ingin diperbetulkan. Tiada sedikit keuntungan atau faedah dengan bersikap bodoh sombong, ini hanya menjadikan diri kita seorang yang gagal dalam mengaplikasi tanggungjawab terhadap ilmu. Maka tidaklah kita sekadar tin-tin kosong yang tiada manfaatnya. Apakah bukan kehidupan ini itu memberi manfaat kepada manusia dan semesta?

Advertisements

Sembang tentang Hak

Bila sebut tentang hak, teringat satu kisah yang saya alami pada awal 2017. Ketika itulah saya mengenali undang-undang kelurga dan berminat mendalami cabang ilmu tersebut serta mengutarakan beberapa idea bagi penambahbaikan. Semuanya bermula daripada senaskah tuntutan hak jagaan anak.

Ketika menerima helaian tersebut saya terkedu dan menegaskan dalam diri bahawa ini adalah perkara yang tidak masuk akal. Tidak boleh saya terima walau pun hakikatnya pada ketika itu saya tidak begitu serius dalam mengambil keputusan untuk mendapatkan hak jagaan anak dan sekadar mahu mempertahankan hak lawatan dan bermalam yang menjadi kebiasaan amalan-amalan pihak-pihak yang bertelingkah sebelum ini.

Kata hak, jadi kenapa perlu minta izin?

Semasa membaca satu per satu permohonan tersebut telah menjadi tanda tanya saya jika hak perlu minta izin maka apa adakah itu dianggap sebagai HAK. Lalu saya mendiamkan diri dan mengambil pendekatan untuk memahami apakah yang dimaksudkan dengan Hak dari sudut bahasa dan syarak. Ketika itu saya hanya mahu mencari pencerahan berkaitan perkara tersebut dan tidaklah saya kira dengan mencari ilmu itu menjadikan perpecahan di antara manusia jika nilai serta inti pati ilmu itu diambil dengan kedua-dua hati yang terbuka.

Berdasarkan penilitian saya dalam isu ini, Hak itu dapat ditafsirkan daripada sudut Bahasa adalah kuasa atas sesuatu atau berbuat sesuatu, milik atau kepunyaan seperti mana yang ditafsirakn oleh Dewan Bahasa & Pustaka. Hak itu yang asalnya adalah pinjaman daripada bahasa Arab yang jelas membawa maksud sesuatu yang dimiliki secara semula jadi oleh setiap manusia.

Maka, secara mudah kita dapat fahami bahawa hak itu ada kepunyaan milik seseorang atau individu. Tidaklah dikatakan hak jika perbuatan, tindakan atau apa jua perkara yang sepatutnya individu berkenaan boleh lakukan perlu mendapatkan keizinan daripada orang, badan atau institusi lain. Malah di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah disebut mengenai kebebasan diri di mana tidak boleh seseorang individu diambil nyawanya dan dilucutkan kebebasan dirinya melainkan dengan undang-undang.

Di samping itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mencapai kata sepakat berkaitan Hak Asasi Manusia yang mana telah di buat Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) pada 10 Disember 1948 di Palais de Chaillot, Paris.

Terdapat banyak pendapat atau pun tafsiran berkaitan hak menurut konsep syarak. Antaranya Ali al-khafif mendefinisikan hak adalah kemaslahatan yang diperoleh secara syara, manakala Mustafa Ahmad az-Zarqa menyatakan bahawa hak adalah suatu kekhususan yang padanya ditetapkan oleh syarak sebagai satu kekuasaan. Menurut Ibnu Nujam seorang ahli Fiqh bermazhab Hanafi menyatakan bahawa hak adalah kekhususan yang terlindung.

Agar Allah menetapkan yang hak (Islam) dan membatalkan yang batil (syirik)….”

Al – Anfal : 8

Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan hak-nya, kepada orang miskin dan orang yang dalam dan janganlah kamu menghambur-hamburkan hartamu secara boros

Al – Israa : 26

2 perkara yang menjadi rukun kepada hak iaitu pemilik hak dan objek hak. Pemilik hak itu diklasifikasi kepada hak Allah dan hak manusia. Hak Allah merupakan kewajiban bagi manusia yang mana seluruh bentuk tindakan yang mendekatkan diri kepada Allah. Manakala Hak manusia bertujuan untuk memelihara kemaslahatan peribadi manusia.

Masih keliru atau TIDAK MAHU faham?

Sekali lagi saya menerima sepucuk surat bertarikh 9 Januari 2019 yang mana ayat tersebut dengan jelas membawa maksud bahawa hak itu miliknya bukan milik saya. Seolah-olah hak jagaan, lawatan dan sebagainya adalah milik mutlaknya. Sama ada ini yang diajar oleh Peguam Syarienya atau sememangnya kefahaman sempit bersifat dendam dan berniat jahat yang menjadikan usaha-usaha pendamaian tidak akan sama sekali tercapai.

Sesungguhnya tidak mahu diulas lebih lanjut mengenai perkara ini. Secara mudahnya dan logik akal bagi orang yang berfikir adakah boleh kamu menerima sekiranya saya katakan saya akan berikan hak jagaan itu kepada kamu yang mana saya bila-bila masa dan boleh menariknya semula. Sudah tentu kamu tidak setuju, bukan? Jadi apa yang sepatutnya menjadi hak masing-masing perlu sama-sama dipelihara. Bila mana masih lagi memegang konsep yang salah maka itulah yang akan terjadi dua minggu lepas pada 30 Disember 2018 dan juga pada hari ini.

Moga Allah merahmati kita semua dengan mengeluarkan kita daripada dorongan dan jalan yang sesat. Jangan terperdaya bahawasanya kita berada di landasan yang betul sedangkan Allah menganugerahkan kita akan istidraj. Nauzubillah!

Empunya Nama Nailah Farafishah

Syukur! Setinggi-tinggi pujian bagi Ilahi yang telah merencanakan setiap aturan kehidupan kita dengan penuh kebaikan dan manfaat dalam diri kita walaupun kita tidak kuat melalui kerenah ujian yang turun tanda ada petanda untuk berhenti. Marilah kita bersama-sama menjadikan diri kita termasuk di kalangan orang-orang yang bersyukur. Moga Allah memberikan berlipat ganda nikmat kehidupan.

“Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demikian sesungguhnya, jika kamu kufur, sesungguhnya Azabku amatlah keras.”

Ibrahim : 7

Sudah 3 tahun mejadi seorang ayah yang memikul amanah dan tanggungjawab bagi mendidik, mengasuh serta membesarkan puteriku yakni Nailah Farafishah. Sungguh terlalu cepat masa berlalu, seakan-akan baru semalam tangan ini memegang umbun-umbun Nailah yang mana ketika itu membantu dalam proses kelahiran anak kecil ini. Kedua-dua belah tangan inilah yang mengeluarkan lilitan tali pusat yang menyimpul lehernya (cord x1) lalu memutuskan tali pusat daripada urinya. Prosesnya cepat dan mudah. Selamat Hari Lahir anakku sayang!

DI SEBALIK NAMA NAILAH FARAFISHAH

Seingat ayah, semasa kamu masih di dalam kandungan telah diputuskan beberapa nama yang ingin diberikan kepada kamu. Ketika itu, tidaklah dapat dipastikan berkenaan jantina menyebabkan nama itu tidak ditetapakan lagi walaupun pada penhujung ultrasound ada doktor yang mengesahkan bahawa jantina kandungan itu adalah perempuan dan hidungya tidaklah mancung seperti ibunya, ikut ayah barang kali.

Namun begitu, nama Nailah Farafishah telah pun dipilih sekiranya betul yang lahir adalah anak perempuan. Malah di penghujung kehamilan ayah sudah memangil kamu dengan panggilan Nailah. Ketika itu ayah sangatlah teruja dan gembira.

Nailah, tahukah kamu nama Nailah Farafishah itu bersempena dengan nama seorang tokoh besar. Dalam memberikan nama kepada kamu, kami ketika itu sebagai ibu bapa mahu roh kekuatan dan nilai keperibadian tokoh itu akan meresap dalam jiwa dan tubuh kamu. Dan akhirnya membesarlah kamu menjadi srikandi Islam yang membantu terus menerus dalam usaha memperkasakan syariah. Begitulah besarnya harapan kami pada kamu, lahirnya kamu satu perkara yang telah dirancang dan diaturkan sebaiknya, malah sebelum kamu lahir lagi telah ada beberapa perancangan dalam proses mentarbiyah kamu.

Jadi, siapakah Nailah Farafishah? Apa sumbangannya dalam dunia Islam. Apakah sumbangnya? Nailah Binti Farafishah itu sebenarnya adalah isteri kepada Khalifah kita yang ketiga yakni Saidina Uthman Bin Affan. Kisahnya yang mempertahankan Saidina Uthman Bin Affan tatkala rumah khalifah itu di kepung oleh pemberontak yang mahu membunuh Khalifah adalah satu keperibadian unggul bagi seorang wanita muslimah. Kecintaan dan kesetiaannya kepada sang suami tanpa ada satu keraguan dalam hatinya menyebabkan hadir keberanian menghalang memberontak daripada membunuh Khalifah sehinggakan terputus jari jemarinya.

Tinggi nilai keperibadian yang ditonjolkan olehnya. Walaupun bukanlah berketurunan Quraisy tetapi akal pemikiran yang dimilikinya membantu Khalifah mengurus tadbir dengan baik. Malah rupa parasnya juga cantik dan menawan. Walaupun jarak usia yang begitu jauh tidaklah menyebabkan alasan untuk Nailah menolak pinang Sang Dzun Nurain. Di sinilah hikmahnya bahawa kecintaan dan kesetiaan itu adalah lahir dari rasa tanggungjawab dan amanah bukanlah perkahwinan itu didirikan atas keterpaksaan apatah lagi nafsu semata-mata.

Peribadi Unggul Menawan Dunia

Oleh yang demikian anakku, janganlah kamu merasakan nama yang diberikan kepadamu itu adalah seperti nama-nama orang lain seolah-olah biasa dan tidak memberikan signifikan dan impak dalam kehidupan kamu yang mendatang. Besar harapan dan cita-cita ayah, mahu melihat kamu membesar menjadi anak yang solehah, penyejuk mata dan penenang jiwa.

Malah ketika usia kamu sudah dewasa, kamu juga mempunyai aura keperibadian yang tinggi bagi mempengaruhi masyarakat dengan nilai-nilai murni dan terus menghidupkan kembali hati masyarakat yang sudah mati. Kelak bila sampai waktu dan ketikannya kamu bernikah, maka jadikanlah pernikahan kamu itu sebagai satu pernikahan yang membawa rahmah ke atas diri kamu dan juga masyarakat sekeliling. Sungguh keluarga itu adalah satu institusi yang perlu dijaga dengan begitu rapi dan hati-hati. Hal ini kerana keluarga itu merupakan satu unit asas dan yang pertama dalam mendidik serta membangunkan masyarakat madani yang berpegang teguh dengan prinsip Islam.

Akhir sekali, Selamat Ulang Tahun Kelahiran yang ke-3 Nailah, sungguh banyak kerja yang perlu sama-sama kita lakukan di dalam keterbatasan waktu dan halangan yang dicipta oleh manusia yag tidak rela dan redha dengan kita. Ayah sayang kamu!