Kefahaman Bukti Tahap Intelektual

Pernahkah anda lalui peristiwa di mana bila di soal sesuatu perkara kepada seseorang maka jawapan yang diberikan tidak tale dengan soalan. Pernah? Saya pernah mengalami pengalaman tersebut. Lucu dan kelakar.

Agaknya apa sebab berlaku perkara tersebut? Renung punya renung. Akhirnya secara umumnya saya berikan beberapa alasan. Pertama individu tersebut mengalami masalah pendengaran. Common case kan? Saya rasa bila kita bercakap dengan orang yang sudah lanjut usia, maka terpaksa ditinggikan nada suara. Bukan bermaksud biadap tetapi perkara itu lebih mudahkan komunikasi. Barulah bila tanya, dijawab dengan jawapan yang selayaknya. Ingat! Mereka lebih dahulu makan garam. Tutur kata mereka sudah pasti ada petua.

Kedua adalah masalah penglihatan yang selalu di dapati oleh warga emas juga menjadikan salah satu elemen penyumbang kepada komunikasi dua hala yang baik. Hal ini kerana, ramai di antara mereka setelah mengalami ketidakfungsian pendengaran yang baik maka akan menggunakan penglihatan untuk melihat gerak geri bibir bagi meramal apa yang kita bicarakan. Jika sudah tidak nampak, maka tak hairanlah tanya lain jawapannya lain. Sekali lagi ketawa!

Alasan ketiga, ini adalah alasan yang betul-betul perlu di ambil serius. Tidak boleh sesekali di ambil ringan apatah lagi diabaikan terus tanpa ada usaha untuk memperbaikinya. Kelemahan, kepincangan dan kegagalan otak atau minda dalam penafsiran. Bahaya bukan? Cuba bayangkan kita lihat pada sudut luaran orang tersebut cantik, segak dan bergaya. hebat tutur kata dan bicara, punya sarjana akan tetapi bila ditanya simple question, dijawabnya merapu serta tidak fokus pada soalan.

Sungguh begitu menghairankan bagaimana boleh terjadi sebegini. Adakah disebabkan overthinking? Apakah integrasi maklumat di dalam cerebrum mengalami masalah? Saya tidak pasti, namun apa yang saya pasti perspektif masyarakat terhadap golongan seperti ini adalah buruk. Lebih menyedihkan lagi apabila keadaan itu tidak disedari olehnya dan tidak mahu diterima dan diperbaiki sebetulnya. Istilah yang paling tepat bak kata-kata orang tua adalah bodoh sombong.

Masyarakat atau pun mana-mana individu akan menilai semasa berkomunikasi bersama-sama. Melalui komunikasi seseorang dapat kita faham secara kasar jenis perwatakan dan personaliti individu tersebut. Malah ia adalah kayu ukur dalam menilai keintelektualan seseorang.

Tiada faedah bila mana mendapat segulung ijazah sarjana mahupun doktor falsafah sekali pun sekiranya kita gagal berinteraksi dengan manusia sebaiknya. Baik berikan sahaja kepingan-kepingan kertas tersebut pada monyet dan kera. Tidak berguna. Kononnya mengejar ilmu demi mendalami ilmu bidang tersebut, akan tetapi apabila tamat pengajian masih lagi tidak memahami malah angkuh dengan kesilapan tersebut. Paling teruk lagi, ada pula menyebarluaskan kefahaman salah pada generasi muda. Makin lama makin runtuhlah keunggulan intelektual masyarakat kita.

Namun begitu, tidak menjadi satu kegusaran atau kerisauan sekiranya kita mahu menerima kelemahan dan sedia ingin diperbetulkan. Tiada sedikit keuntungan atau faedah dengan bersikap bodoh sombong, ini hanya menjadikan diri kita seorang yang gagal dalam mengaplikasi tanggungjawab terhadap ilmu. Maka tidaklah kita sekadar tin-tin kosong yang tiada manfaatnya. Apakah bukan kehidupan ini itu memberi manfaat kepada manusia dan semesta?